Hepatitis A ( penyakit berjangkit hati )

Hepatitis A (dahulunya dikenali sebagai hepatitis berjangkit) merupakan penyakit berjangkit hati yang akut, yang disebabkan oleh virus hepatitis A (HAV). Kebanyakan kes tidak menunjukkan simptom atau menunjukkan simptom yang sedikit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Dalam kalangan mereka yang dijangkiti, tempoh antara jangkitan dengan simptom adalah antara dua hingga enam minggu. Apabila menunjukkan simptom, simptom ini berlanjutan selama lapan minggu dan mungkin merangkumi: rasa mual, muntah, cirit-birit, kulit kuning, demam, dan sakit abdomen. Kira-kira 10–15% daripada mereka yang dijangkiti mengalami simptom berulang sepanjang enam bulan selepas jangkitan awal. Kegagalan hati akut amat jarang berlaku tetapi masih boleh berlaku lebih-lebih lagi dalam kalangan warga tua.

Penyakit ini biasanya tersebar melalui pengambilan makanan atau air yang dicemari oleh najis yang dijangkiti. Kerang-kerangan yang tidak dimasak secukupnya merupakan punca biasa. Penyakit ini juga boleh tersebar melalui sentuhan dengan orang yang boleh menjangkitkan penyakit. Walaupun kanak-kanak seringkali tidak menunjukkan simptom apabila dijangkiti, mereka masih mampu menjangkitkan penyakit ini kepada orang lain. Selepas satu jangkitan, individu tersebut menjadi imun terhadap penyakit ini sepanjang hidup mereka. Diagnosis memerlukan ujian darah kerana simptomnya menyerupai beberapa penyakit lain. Ia merupakan satu daripada lima virus hepatitis yang diketahui: A, B, C, D, dan E.