Penyakit Koronari Jantung

Penyakit yang berkenaan jantung dikenali sebagai penyakit kardiovascular. Antara penyakit jantung adalah sakit koronari jantung atau juga dikenali sebagai penyakit jantung Iskemia (Ischaemic Heart Disease).
Penyakit kardiovascular merupakan punca utama kesakitan dan kematian yang disahkan oleh doktor di Malaysia. Pada tahun 1988, 29.4% dari angka kematian yang disahkan oleh doktor di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh penyakit kardiovascular.

Penyakit jantung iskemia (Ischaemic Heart Disease) juga dikenali sebagai penyakit jantung koronari. Penyakit ini adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan darah kepada otot jantung. Kekurangan darah yang berterusan kepada jantung akan menyebabkan kematian otot-otot jantung dan jika keadaan bertambah teruk boleh meyebabkan kegagalan jantung untuk berfungsi dan seterusnya kematian mengejut. Antara sindrom penyakit jantung iskemia adalah angina pektoris dan infarksi miokardia.

Penyakit jantung iskemia kini menjadi ancaman utama terhadap kesihatan masyarakat di seluruh dunia. Kadar kematian yang disebabkan oleh penyakit ini dilaporkan tertinggi di Finland, Scotland dan Ireland Utara. Dianggarkan bahawa seorang dari lima orang lelaki akan mengidap penyakit jantung iskemia pada umur di antara 60 - 65 tahun. Di Malaysia, kematian disebabkan oleh penyakit ini adalah sebanyak 35 % daripada jumlah keseluruhan kematian yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dari tahun 1975 - 1989. Kemasukan ke hospital yang disebabkan oleh penyakit jantung iskemia telah meningkat kepada 34,358 kes pada tahun 1997 berbanding dengan 14,754 kes pada tahun 1985.

Angina pektoris merupakan tanda awal seseorang itu mendapat penyakit jantung iskemia. Tanda-tanda awal angina pektoris adalah rasa sakit di dada sebelah kiri yang disebabkan oleh kekurangan bekalan oksigen. Kadangkala pesakit mengadu sakit di bahagian perut (epigastrik). Serangan angina pektoris boleh berlaku semula apabila pesakit melakukan aktiviti berat atau ketika pesakit mengalami tekanan (stres) kerana pada keadaan tersebut jantung memerlukan oksigen yang tinggi. Bagaimanapun, kesakitan ini akan hilang di dalam masa kurang dari setengah jam apabila pesakit memberhentikan aktiviti berat dan berehat. Infarksi Miokardia